Analisis Hasil Kerajaan Persekutuan Berdasarkan Belanjawan 2020

Prestasi Hasil Sebelum Belanjawan 2020

Setelah Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, antara perkara utama yang dilakukan ialah penetapan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun 2018 hingga 31 Ogos 2018. Tiga bulan ‘tax holiday’ menyebabkan Kerajaan Persekutuan kehilangan hasil kira-kira RM20 bilion. Sebaliknya, tindakan GST sifar juga telah meningkatkan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) kepada 132.9 mata pada Suku Kedua 2018 dan mengurangkan kos harga barang lebih kurang 6%.

Pada 1 September 2018, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) 2.0. SST 2.0 akan mencukai 6,405 item berbanding 11,197 yang disenaraikan di bawah GST 6%. Namun, sebanyak 5,612 item dicukai lebih tinggi pada kadar 10%, berbanding hanya 793 item dicukai pada kadar 5%. Senarai perkhidmatan yang terkandung dalam 25 kategori pula akan dikenakan cukai sebanyak 6%. Dalam tempoh empat bulan terakhir 2018 (September-Disember), Kerajaan Persekutuan mensasarkan akan memperoleh jumlah kutipan sebanyak RM4 bilion.

Kerajaan Persekutuan memperoleh hasil SST lebih tinggi daripada jangkaan sepanjang empat bulan terakhir 2018. Menurut kenyataan Menteri Kewangan, “Putrajaya aspires to give more purchasing power to the rakyat in expense of the RM23 billion in revenue loss a year after move from GST to SST. The SST is expected to accumulate RM21 billion per annum into government coffers, about half the RM44 billion GST would have brought in”. Keadaan ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan telah bersedia untuk kehilangan RM20 bilion apabila memperkenalkan kembali SST 2.0 pada 1 September 2018.

Walau bagaimanapun, keseluruhan Hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018 tetap mencatatkan peningkatan 5.7% daripada RM220 bilion (2017) kepada RM233 bilion (2018). Peningkatan secara signifikan disumbangkan oleh Cukai Pendapatan Petroleum (PITA) sebanyak 66% dan Dividen PETRONAS 62.5%. Keuntungan bersih PETRONAS pula bagi penyata kewangan berakhir Disember 2018 ialah RM55.3 bilion, meningkat 22% berbanding RM45.5 bilion pada tahun 2017. Hal ini membuktikan pergantungan Kerajaan Persekutuan terhadap petroleum telah membantu mengukuhkan hasil pada tahun 2018.

Belanjawan 2019 pula telah menggariskan beberapa perubahan besar berkaitan sistem percukaian di Malaysia. Sebelum itu, wajar untuk memahami apakah isu pokok yang berkaitan dengan sistem percukaian semasa. Pertama, kelemahan kutipan hasil cukai yang disebabkan oleh ketidak cekapan pentadbiran, pelarian dan ketirisan. Dapatan data sehingga akhir 2017 menunjukkan sebanyak 62.4% daripada 1,251,190 buah syarikat telah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), namun hanya 7.8% atau 61,000 sahaja tertakluk kepada cukai.

Kedua, potensi ketirisan hasil akibat daripada pelbagai insentif cukai khususnya galakan pelaburan. Berdasarkan Laporan Bank Negara Malaysia (2017) yang bertajuk, “Rethinking Investment Incentives”, Malaysia telah menawarkan lebih 100 kepelbagaian insentif untuk menarik pelaburan langsung asing yang boleh dikategorikan kepada tiga bentuk iaitu ‘Pioneer Status’, ‘Investment Tax Allowance’ dan ‘Reinvestment Allowance’. Laporan Bank Dunia (2015) turut memberikan komentar mengenai perkara ini dengan mendakwa, “competition for investment through tax based incentives leads to tax competition and downward pressure on tax rates among regional peers”.

Ketiga, asas sumber percukaian yang kecil iaitu 16% daripada KDNK (2017) berbanding negara ASEAN seperti Singapura (20.5%) dan Thailand (19.2%) serta beberapa negara Asia yang lain juga seperti Arab Saudi (26.8%) dan Korea Selatan (27.8%). Peratusan Cukai Langsung sekitar 50% hingga 60% manakala Cukai Tidak Langsung pula 15% hingga 20% daripada keseluruhan hasil cukai. IMF dan OECD menggalakkan keseimbangan antara Cukai Langsung dan Cukai Tidak Langsung supaya menjadi penampan kepada ketidaktentuan ekonomi.

Ekoran tiga perkara pokok yang berkaitan dengan sistem percukaian di negara ini, maka Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) pada bulan September 2018. TRC mengemukakan beberapa solusi untuk menangani tiga perkara tersebut. Sebahagiannya telah dikemukakan dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan. TRC mahu supaya asas cukai diperluas dan memasukkan lebih ramai pembayar cukai berpotensi ke dalam jaringan cukai.

Lanjutan itu, terdapat 10 langkah cukai telah diperkenalkan dalam Belanjawan 2019. Empat daripadanya adalah cukai baharu, manakala enam lagi adalah cukai ‘adjustments’. Sepuluh langkah cukai ini tidak termasuk Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP). Empat cukai baharu tersebut ialah Cukai Perkhidmatan atas Perkhidmatan Import (bermula 1 Januari 2019), Duti Eksais Ke Atas Minuman Bergula (bermula 1 Julai 2019), Levi Perlepasan (bermula 1 Jun 2019) dan Cukai Perkhidmatan Digital (bermula 1 Januari 2020).

Belanjawan 2019 menganggarkan jumlah hasil cukai adalah sebanyak RM263 iaitu meningkat sebanyak 12.9% berbanding RM233 bilion pada tahun 2018. Peningkatan RM30 bilion ini adalah berpunca daripada pemberian dividen khas PETRONAS kepada Kerajaan Persekutuan. Ia adalah tambahan kepada RM24 bilion lagi yang disumbangkan menerusi PITA dan beberapa cukai atau duti yang berkaitan petroleum. Pada tahun 2010 sekali lagi menunjukkan peningkatan pergantungan Kerajaan Persekutuan kepada hasil berkaitan petroleum sehingga 30% berbanding 23.4% pada tahun 2018.

Tahun 2019 menunjukkan peningkatan hasil secara keseluruhan disebabkan oleh kutipan hasil Cukai Langsung yang dianggarkan meningkat 3.4% daripada RM130 bilion kepada RM136 bilion. Peningkatan ini tidak termasuk bayaran dividen khas ‘one off’ PETRONAS sebanyak RM30 bilion. Jumlah peningkatan hasil Cukai Langsung ekoran langkah SVDP dan persekitaran bisnes yang lebih kompetitif. Sejak SVDP diperkenalkan, seramai 270,000 orang mengisytiharkan pendapatannya dan dianggarkan jumlah kutipan mencecah RM6 bilion.

Prospek Hasil Dalam Belanjawan 2020

Unjuran Hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2020 menurun -7.1% iaitu daripada RM263 bilion kepada RM245 bilion. Penurunan ketara disebabkan oleh ketiadaan dividen khas PETRONAS. Hasil berkaitan petroleum pula dianggar lebih rendah daripada 30.4% (2019) kepada 20.7%. Tambahan lagi, pendapatan daripada PITA dan dividen PETRONAS juga turut mengalami penurunan secara marginal. Hal ini bermakna Hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2020 disokong kukuh oleh cukai pendapatan individu dan syarikat.

Bagi membantu merealisasikan kutipan hasil tersebut, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan persekitaran ekonomi sentiasa positif untuk membantu pertumbuhan dan peningkatan hasil Cukai Langsung. Aspek pematuhan dan kecekapan pentadbiran kutipan cukai tetap akan diteruskan. Ia juga disokong oleh perubahan struktur duti setem dan Cukai Keuntungan Harta Tanah yang telah dilakukan serta selari dengan kestabilan pasaran hartanah.

Tiada pertambahan cukai baharu dalam Belanjawan 2020 kecuali pengenalan banjaran pendapatan bercukai melebihi RM2 juta pada kadar 30%. Sementara itu, lebih kurang 30 langkah cukai telah diumumkan berkaitan dengan insentif baharu, pakej galakan dan lanjutan pelepasan cukai diperkenalkan. Meskipun TRC telah mencadangkan agar pelbagai insentif perlu dikaji semula untuk mengelakkan ketirisan hasil cukai menerusi Akta Penggalakan Pelaburan 1986.

Selain daripada hasil Cukai Langsung, Kerajaan Persekutuan juga diunjur akan mendapat manfaat daripada kerancakan kadar penggunaan swasta termasuk daripada kedatangan pelancong yang disasarkan 30 juta sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Ia akan mengukuhkan hasil Cukai Tidak Langsung khususnya daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST). Oleh kerana itu, SST diunjur meningkat 5.6% daripada RM26.8 bilion kepada RM28.3 bilion.

Meskipun hasil Bukan Cukai agak statik sekitar RM51 bilion, namun peningkatan drastik diunjur akan diperolehi daripada jualan harta benda termasuk tanah dan bangunan. Kebiasaannya perolehan daripada jualan harta benda lebih kurang RM100 juta, namun pada tahun 2020 ia meningkat sehingga RM1.26 bilion. Sebaliknya hasil daripada faedah dan pulangan pelaburan menunjukkan trend menurun dari tahun 2018 (RM31 bilion), 2019 (RM29 bilion tidak termasuk dividen khas PETRONAS) dan 2020 (RM28 bilion).

Kesimpulan      

Komitmen Kerajaan Persekutuan adalah terus mengurangkan pergantungan daripada hasil bukan petroleum. Sementara itu, Kerajaan Persekutuan mahu meluaskan hasil percukaian dengan meneroka sumber baharu berdasarkan ekuiti mendatar atau secara spesifiknya ialah cukai kepenggunaan iaitu menerusi sumber hasil Cukai Tidak Langsung. Kedudukan peratusan Cukai Langsung dan Cukai Tidak Langsung mahu diseimbangkan. Beberapa insentif percukaian akan dikaji dari masa ke semasa bagi meningkatkan keberkesannya.

Leave a Reply

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *