Zakat Sebagai Alat Dasar Fiskal

Allah mensyariatkan zakat untuk membina kerukunan hidup sesama manusia. Ia berasaskan kepada tonggak akidah untuk memenuhi keperluan masyarakat serta negara. Zakat telah disistemkan secara bersepadu. Kelayakan pemberi, jenis barang, jumlah nilai, tempoh masa, pihak pengurusan dan sasaran penerima telah diperincikan menerusi sumber Syariah dan ijtihad fuqaha’. Seolah-olah sistem zakat telah dikawal penstrukturannya supaya tidak sewenang-wenangnya dimanipulasi oleh manusia.

Firman Allah SWT mengenai zakat telah diulang-ulang sebanyak 32 tempat dalam al-Qur’an al-Karim contohnya dalam Surah al-Baqarah (ayat ke-43, 83, 110), Surah an-Nisa’ (ayat ke-77), Surah al-Maidah (ayat ke-12) dan Surah al-‘Araaf (ayat ke-156). Hal tersebut menunjukkan peri pentingnya kefardhuan zakat dalam Islam. Hasan al-Basri RA mengatakan, “Pembayaran zakat itu merupakan kewajiban. Amal ibadah tidak akan bermanfaat kecuali dengan menunaikannya dan dengan mengerjakan solat” (Abdullah & Abdul Rahman 2008).

Nabi Muhammad SAW juga banyak menekankan perihal zakat. Antaranya, baginda SAW menjelaskan bahawa zakat adalah salah satu daripada lima asas binaan Islam (al-Bukhari, 8). Selain itu, Nabi SAW juga pernah mengingatkan para sahabatnya seperti Muadz bin Jabal RA untuk menyampaikan kewajiban Allah kepada rakyat mengenai harta yang diambil dari orang kaya untuk diagihkan kepada orang fakir miskin (al-Bukhari, 1331). Kombinasi sumber dalil ini menunjukkan zakat sangat penting dalam Islam.

Maksud zakat ialah membersihkan sesuatu, menambahkan dan menyuburkan. Secara istilah, zakat merujuk kepada kadar yang ditentukan daripada beberapa jenis harta, yang wajib dikeluarkan kepada golongan manusia tertentu apabila cukup syarat tertentu (Mustofa al-Khin, Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji, 2005). Zakat boleh melentur sifat kedermawanan, mengukuh ikatan ukhuwwah, memenuhi jaminan sosial, mengecil kesenjangan pendapatan, dan mengurang kadar pengangguran.

Asasnya, zakat dikategorikan kepada dua bahagian. Pertama, zakat fitrah (zakat diri). Kedua, zakat harta. Zakat fitrah dibayar oleh individu yang berkemampuan dengan dinisbahkan kepada makanan asasi pada kadar satu gantang bersamaan lebih kurang 2.27 kilogram. Lebih menarik, kadar atau nilai satu gantang tersebut berbeza mengikut jenis beras. Contohnya, Beras Super Spesial Tempatan 5% (RM7), Beras Putih Import / Beras Wangi (RM14) dan Beras Basmathi (RM21).

Zakat harta pula terdiri daripada zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat ternakan, zakat simpanan, zakat emas dan perak, zakat pelaburan, zakat galian dan harta karun, zakat KWSP dan zakat takaful. Zakat harta mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu Muslim dan merdeka, pemilikan penuh terhadap harta, cukup nisab (kadar yang dibolehkan zakat), dan cukup haul (tempoh pemilikan setahun). Semua jenis zakat harta mempunyai kadar yang telah ditentukan. Boleh merujuk kepada Pusat Pengutusan Zakat dan Kalkulator Zakat untuk mendapatkan gambaran lebih terperinci.

Hasil kutipan zakat akan diserahkan kepada pihak-pihak tertentu (asnaf) yang telah diperuntuk secara khusus dalam al-Qur’an dan al-Hadith serta mempunyai perbincangan lanjut dalam kalangan fuqaha’. Namun begitu, pihak penerima (asnaf) yang telah dinyatakan seperti yang termaktub dalam Surah at-Taubah (ayat ke-60) ialah orang fakir, orang miskin, para ‘amil (pegawai pemungut dan pemberi zakat yang dilantik oleh kerajaan), orang muallaf (orang baru memeluk Islam atau menunjukkan kecenderungan terhadap Islam), hamba yang mahu dimerdekakan, orang yang dibebani hutang berlandaskan Syari’ah, orang fi Sabilillah (pejuang Islam), dan musafir di jalan Allah.

Pada zaman Rasulullah SAW, sumber primer kewangan negara adalah berasaskan tabungan sukarela (infaq). Sumber sekunder pula antaranya adalah daripada zakat, jizyah, fay’ dan khums. Kesemua hasil tersebut dikonsolidasikan dalam satu sistem simpanan dan diagihkan secara maksimum dan segera kepada pihak-pihak tertentu secara adil. Pengagihan hasil yang dilakukan oleh Rasulullah SAW tidak meninggalkan baki untuk menghadapi masa kecemasan. Tidak terdapat istilah Baitulmal pada zaman Rasulullah SAW tetapi pengamalan sistem perbendaharaan ini wujud dan ia menepati ciri sistem fiskal negara (Abdullah Alwi).    

Artikel ini bertujuan untuk menjelaskan mengenai zakat dan kedudukannya sebagai mekanisme dalam dasar fiskal. Dasar fiskal ialah, “a federal government policy where policy makers manipulate the federal government budget to attain price stability, full employment and a satisfactory rate of economic growth” (Zubair & Habibah, 2009). Secara mudah, ia juga dianggap sebagai sebagai perkara yang berkaitan dengan persoalan perbelanjaan, hasil dan hutang kerajaan bagi mencapai matlamat ekonomi negara (Miller & Pursineilli, 1989).

Zakat dianggap sebagai alat dasar fiskal dengan sistem yang tersendiri untuk menangani masalah pengagihan, menstabilkan pendapatan, mengurangkan inflasi dan meningkatkan guna tenaga. Bahkan, dalam kajian Yusmina, Rubiah dan Muhammad Hashim (2017) mendapati dasar fiskal Islam secara keseluruhan mempunyai implikasi positif berbanding dasar fiskal konvensional dalam mengatasi masalah makroekonomi. Satu usaha berterusan dan bersepadu perlu dilakukan untuk memperkasakan semula peranan institusi zakat dan baitulmal sebagai sebuah institusi perbendaharaan negara.

Praktik di Malaysia adalah unik. Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa bagi Persekutuan dan negeri-negeri untuk menubuhkan serta menyelenggarakan institusi Islam. Perkara ini harus dibaca bersama Jadual 9 Senarai Perundangan (Senarai Negeri) yang memaktubkan pentadbiran zakat dan baitulmal serta wakaf di bawah bidang kuasa negeri. Walaupun begitu, pada tahun 2004, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji yang bertujuan untuk memajukan taraf sosio ekonomi umat Islam di Malaysia.

Kesimpulannya, kutipan zakat di seluruh negara pada tahun 2014 mencecah RM 2.5 bilion setahun, manakala agihan zakat di seluruh negara dalam tempoh yang sama ialah RM 2.2 bilion. Sementara itu, terdapat usaha yang dijalankan untuk mencadangkan kodifikasi Akta Zakat Nasional di peringkat Persekutuan serta menubuhkan Majlis Zakat Negara bagi menangani isu penyeragaman perundangan serta penguatkuasaan zakat di negeri-negeri. Ia dianggap satu langkah awal untuk mengarus perdanakan institusi perbendaharaan Islam di Malaysia.

Leave a Reply

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *