Hutang Kerajaan Persekutuan Pernah Lebih 100% Daripada KDNK

Perkara 111 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat pinjaman bagi membiayai pengurusan dan pembangunan negara. Instrumen hutang Kerajaan Persekutuan tertakluk kepada akta iaitu Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946, Akta Pinjaman (Tempatan) 1959, Akta Pendanaan Kerajaan 1983, Akta Pinjaman Luar Negeri 1963. Semua urus niaga penerimaan pinjaman dan pembayaran balik pinjaman diakaunkan dalam Akaun Pinjaman Disatukan.

Instrumen hutang Kerajaan Persekutuan dikategorikan kepada dua iaitu Pinjaman Dalam Negeri dan Pinjaman Luar Negeri. Bagi instrumen Pinjaman Dalam Negeri ia terdiri daripada Bil Perbendaharaan Malaysia – MTB (konvensional, jangka pendek) dan Sekuriti Kerajaan Malaysia – MGS (konvensional, jangka panjang) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan – MGII (Syariah, jangka panjang). Bagi instrumen Pinjaman Luar Negeri pula, ia terdiri daripada Pinjaman Pasaran dan Pinjaman Projek. Hutang Kerajaan Persekutuan merujuk kepada baki hutang semasa dalam dan luar negeri.

Jumlah akumulatif hutang Kerajaan Persekutuan sehingga 2017 ialah RM 686.8 bilion (50.7% daripada KDNK). Kemudian, ia telah mencecah sehingga RM 741 bilion pada 31 Disember 2018 (51.8% daripada KDNK). Adakah hutang Kerajaan Persekutuan pernah menjangkau 100% daripada KDNK? Ya, pernah. Berdasarkan data, sejak tahun 1970 hingga 2018, jumlah hutang hanya menurun pada tahun 1992 hingga 1997 sahaja. Selain daripada itu, hutang Kerajaan Persekutuan menunjukkan trend menaik selari dengan peningkatan jumlah KDNK.

Sepanjang tempoh 1970 hingga 2018, peningkatan hutang dan kadar peratusan hutang daripada KDNK berlaku disebabkan oleh pengaruh persekitaran krisis kewangan global seperti tahun 1974/1975 (krisis minyak), 1986/1987 (kejatuhan harga komoditi utama) dan 1997/1998 (krisis kewangan Asia). Krisis ekonomi menyebabkan kelembaban pertumbuhan dan mengurangkan pendapatan kerajaan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan membangun (defisit fiskal). Ia dianggap sebagai satu fenomena biasa dalam kalangan negara-negara lain di dunia khususnya selepas krisis kewangan 2008/2009.

Era pertama kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ialah pada tahun 1981 hingga 2003. Sepanjang 22 tahun beliau mentadbir kerajaan, hutang Kerajaan Persekutuan pernah melebihi 100% daripada KDNK iaitu pada tahun 1986 (RM 74 bilion : 103.4%) dan 1987 (RM 82 bilion : 101.7%). Situasi kritikal ini berlaku disebabkan oleh kejatuhan harga komoditi dunia terutama bijih timah dan petroleum. Harga minyak mentah telah menjunam sehingga AS$ 14.85 se-tan sehingga menyebabkan KDNK menyusut daripada RM 77 bilion kepada RM 71 bilion.  

Pada tahun 2009, Kertas Statut 77 telah menggariskan had statutori bagi hutang domestik mestilah tidak melebihi 55% daripada KDNK, manakala had statutori hutang luar persisir pula mestilah tidak melebihi RM35 bilion. Peningkatan hutang akan menyebabkan peningkatan pembayaran khidmat hutang yang kini dianggarkan menjadi item kedua terbesar dalam perbelanjaan mengurus selepas emolumen. Pembayaran khidmat hutang telah dihadkan kepada 15% daripada perbelanjaan mengurus sahaja.

Pergantungan kepada hutang mestilah boleh diurus dengan baik untuk meningkatkan tahap kompetitif dan pembangunan negara seperti negara Jepun dan Singapura. Namun, sekiranya hutang digunakan untuk membayar semula hutang lama seperti yang berlaku kepada Greece dan Portugal, maka ia pasti akan menjadi beban. Rakyat mahu penubuhan Pejabat Pengurusan Hutang yang telah ditubuhkan pada 15 Mei lalu boleh mengkoordinasi dengan lebih efisyen instrumen hutang yang sedang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan sekarang.

Leave a Reply

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *