Dilema Dasar Afirmatif

Imperialisme British ke Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak mengembangkan sektor ekonomi. Permintaan buruh terlalu tinggi khususnya dalam sektor perladangan dan perlombongan. Desakan ekonomi tersebut telah menyebabkan pihak Britih membuka kemasukan imigran ke Tanah Melayu secara besar-besaran. Berdasarkan rekod, dianggarkan seramai 15 juta orang Cina telah memasuki Tanah Melayu pada kurun ke-19 sehingga tahun 1940.

Demi untuk memastikan kelangsungan ekonomi penjajah, British mengamalkan dasar pecah dan perintah. Dasar ini telah mengkelompokkan kaum mengikut struktur tertentu. Sebelum kemerdekaan, orang Cina bekerja dalam sektor perlombongan, perniagaan dan perindustrian serta menetap di kawasan bandar. Orang Melayu dan India pula bekerja dalam sektor pertanian, perladangan dan perlombongan serta menetap di kawasan luar bandar.

Segregasi berasaskan faktor ekonomi dan sosial mengakibatkan hubungan antara kaum semakin kritikal. Ketidakadilan dalam pengagihan ekonomi, aksesibiliti kemudahan dan kesaksamaan peluang telah menggoyang kestabilan politik negara. Lebih memburukkan keadaan, latar sosial dan ekonomi telah mempengaruhi sentimen PRU Ke-3 pada tahun 1969. Propaganda dan provokasi telah mengheret negara kepada peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Ekoran peristiwa tersebut, kerajaan telah mengemukakan satu dasar untuk menyusun semula kerukunan masyarakat, membasmi kemiskinan, mengecilkan jurang masyarakat bandar dan luar bandar serta menghapuskan pengenalan identiti kaum berasaskan ekonomi. Maka, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada bulan Januari 1971 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak.

Menurut data Unit Perancang Ekonomi, kadar kemiskinan orang Melayu pada tahun 1970 ialah 64.8%, berbanding Cina 26% dan India 39.2%. Pendapatan Purata Keluarga Sebulan pula ialah RM 172 bagi orang Melayu, RM 394 bagi orang Cina dan RM 304 bagi orang India. Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat-syarikat berhad hanya 4.3%, berbanding bukan Bumiputera 34% dan warganegara asing 61.7%.

Oleh sebab itu, taraf ekonomi Bumiputera difokuskan dan ditingkatkan menerusi strategi intervensi DEB. Malah, hal berkaitan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera telah dijamin secara eksplisit dan lebih awal dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Bagi Stiglitz, dasar dan tindakan afirmatif yang diamalkan di Malaysia sangat terancang, dilindungi menerusi perlembagaan dan dilaksana untuk membantu golongan majoriti, bukan minoriti.

Dalam satu kajian bertajuk Malaysian Dilemma: The Enduring Cancer of Affirmative Action yang dijalankan oleh Dr John Lee, profesor kelahiran Malaysia di The Centre for Independent Studies Australia pada tahun 2011 mengatakan, “The economic, social and cultural policies of the NEP, which have been in place since 1971, favour the 65% of Malay or Bumiputra-Malaysians and discriminate against the 25% of Chinese-Malaysians and 10% of Indian-Malaysians”.

Dalam laporan kajian tersebut juga mengatakan bahawa PAS sebagai parti ‘ultra right wing’ telah mendesak lebih banyak hak Bumiputera mesti dipertahankan, manakala parti dominasi Cina iaitu DAP mendesak idea ‘Malaysia Malaysia’ dan menghapuskan (dilution) hak istimewa Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan. Pertembungan ini boleh dilihat daripada aspek politik, ekonomi, pendidikan dan pentadbiran awam.

Memetik jawapan bertulis YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Dewan Rakyat kepada YB Pendang (PAS) pada Julai 2018 yang lalu, pemilikan ekuiti dan aset, penglibatan pekerja mahir Bumiputera masih rendah. Oleh itu, dasar dan strategi memperkasakan Bumiputera akan diteruskan di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi juga telah menganjurkan Kongres Bumiputera yang bertemakan, “Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu” pada tahun 2018.

Selepas PRU Ke-14, beberapa isu dilontarkan oleh Pakatan Harapan. Sebagai contoh, isu kontraktor Bumiputera, peruntukan kepada golongan petani, penternak dan nelayan, program matrikulasi, UiTM, saiz penjawat awam, diskriminasi pengambilan pekerja sektor swasta, pemberian biasiswa JPA, penggunaan Bahasa Melayu, ICERD dan Statut Rom. Isu-isu ini masih belum dimuktamadkan sehingga ke hari ini.

Adakah kita (Melayu dan Bumiputera) bersedia SEKIRANYA dasar serta tindakan afirmatif dihapuskan?

Leave a Reply

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *