Kewangan Kerajaan Persekutuan Selepas 365 Hari Pakatan Harapan

Dua dapatan tinjauan pendapat awam berkaitan ekonomi telah diterbitkan baru-baru ini. Pertama, KAJIDATA Research membuat tinjauan melalui telefon kepada 1,007 responden dan mendapati 43 peratus tidak berpuas hati dengan pengurusan ekonomi yang dikendalikan oleh PH. Kedua, The Edge menjalankan tinjauan dalam talian dan berjaya mengumpulkan maklum balas seramai 37,262 responden. Berdasarkan tinjauan tersebut, sebanyak 40.50% responden memilih kos sara hidup sebagai isu utama disusuli dengan 15.45% responden memilih isu pertumbuhan ekonomi.

Kedua-dua dapatan tinjauan pendapat awam menunjukkan isu ekonomi masih belum terbukti diurus secara berkesan oleh kerajaan. Artikel ini ditulis untuk meneliti secara kasar prestasi kewangan sektor awam (public finance) berdasarkan maklumat semasa yang diperolehi. Perkara utama yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan ialah pendekatan konsolidasi fiskal yang bermula pada tahun 2018. Kerajaan Persekutuan telah menyemak semula defisit fiskal daripada 2.8% kepada 3.7% pada tahun 2018. Defisit yang semakin melebar adalah disebabkan oleh peningkatan pendapatan yang lebih kecil untuk menampung kenaikan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan membangun tahun 2018.

Peningkatan pendapatan yang lebih kecil disebabkan oleh penurunan mendadak Hasil Cukai Tidak Langsung daripada RM 61.6 bilion pada tahun 2017 kepada RM 44 bilion pada tahun 2018 (-28.6%). Walau bagaimanapun, ia ditampung dengan hasil daripada Cukai Pendapatan Petroleum (PITA) (70.3%) dan Hasil Bukan Cukai (37.6%). Hasil Bukan Cukai disumbangkan melalui pulangan pelaburan dari PETRONAS (RM 26 bilion), royalti PETRONAS (RM 5.2 bilion), KWAP (RM 4.5 bilion), Bank Negara Malaysia (RM 2.5 bilion) dan Khazanah Nasional Berhad (RM 1.6 bilion).

Sementara itu, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan mencecah RM 287.1 bilion pada tahun 2018, berbanding RM 262.6 bilion pada tahun 2017. Peningkatan 9.3% tersebut adalah disebabkan oleh peningkatan mendadak perbelanjaan membangun sebanyak 28.5%. Faktor kenaikan kerana perbelanjaan signifikan dalam projek-projek pengangkutan dan infrastruktur. Bagi perbelanjaan mengurus pula, peningkatan 6.1% adalah disebabkan oleh peningkatan ketara pembayaran pencen, pemberian subsidi terutamanya petrol dan bayaran khidmat hutang.

Oleh sebab itu, defisit kerajaan semakin membengkak daripada – RM 40.3 bilion pada tahun 2017 kepada – RM 53.4 bilion pada tahun 2018. Kelompangan pendapatan tersebut ditampung oleh pinjaman Kerajaan Persekutuan. Secara umumnya, pinjaman yang dibuat meningkat 1.8% kepada RM 131.6 bilion pada tahun 2018. Sebanyak 59% daripadanya digunakan untuk membayar semula hutang (domestik dan pesisir), manakala selebihnya untuk membiayai defisit (perbelanjaan membangun). Maka, secara tidak langsung, ia turut meningkatkan hutang Kerajaan Persekutuan daripada RM 686.6 bilion kepada RM RM 741 bilion (51.8% daripada KDNK).

Sepanjang tempoh 2019, terdapat beberapa perubahan yang bakal berlaku. Daripada aspek polisinya, Kerajaan Persekutuan perlu segera memperkenalkan Fiscal Responsibility Act selewat-lewatnya pada awal tahun 2020 bagi memastikan pelan konsolidasi yang disasarkan menepati sasaran. Selain itu, beberapa cukai baharu akan diperkenalkan. Pertama, Sugar Tax yang akan dimulakan pada 1 Julai 2019. Sebanyak 40 sen seliter akan dikenakan bagi minuman yang mengandungi lebih 5 gram gula. Kedua, Release Levy juga dijangka akan dikuatkuasa pada 1 Julai 2019 kepada pengguna pengangkutan udara iaitu sebanyak RM 20 dalam negara ASEAN dan RM 40 bagi luar negara ASEAN. Ketiga, Digital Tax pula berkemungkinan akan dikenakan awal tahun 2020.

Bagi aspek perbelanjaan, perbelanjaan mengurus dianggar meningkat 12.5% dalam tempoh yang sama. Ia bakal disumbangkan secara signifikan daripada item perbelanjaan ‘lain-lain’ iaitu daripada RM 9.7 bilion kepada RM 44.8 bilion (362%). Namun, tiada perincian dibuat masa ini. Sementara itu, perbelanjaan bagi subsidi pula susut – 19% yang dijangka berlaku kepada subsidi petrol dan input pertanian. Bagi perbelanjaan membangun, projek infrastruktur dan pengangkutan seperti ECRL dan LRT3 akan bermula dalam separuh masa kedua 2019. Kedua-dua projek telah diskala-kecilkan dengan pengurangan yang signifikan.

Berdasarkan data semasa, Kerajaan Persekutuan sedang giat menambah beban hutang. Dalam Suku Pertama 2019, hutang semasa kerajaan berjumlah RM 768.8 bilion, peningkatan sebanyak RM 27.7 bilion berbanding akhir tahun 2018. Tambahan lagi, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk terus bergantung kepada Bon Samurai lagi. Sekiranya trend ini berterusan, maka pelan kerajaan untuk mengurangkan defisit secara beransur-ansur atau sekurang-kurangnya mencapai sasaran 3.4% pada akhir tahun 2019 tidak akan menjadi kenyataan. Adakah penubuhan Debt Management Office akan berkesan?

Kesimpulannya, terdapat tiga langkah utama untuk diberikan perhatian;

  1. Beban cukai (kepenggunaan) perlu direvisi semula supaya tidak bersifat regresif.
  2. Perbelanjaan kerajaan perlu diprioritikan supaya pembaziran dapat dielakkan
  3. Pergantungan terhadap ketagihan hutang mesti dihentikan

Leave a Reply

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *