Tiga Analisis Untuk Memeta Strategi Pilihan Raya

Sistem pilihan raya di Malaysia berasal daripada projek pemodenan peninggalan kolonial British yang diperkenalkan secara berperingkat pada tahun 1955 sebelum kemerdekaan. Pilihan raya diadakan bertujuan untuk memilih Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Malaysia. Penentuan kemenangan dalam pilihan raya berasaskan kepada sistem majoriti mudah atau kaedah ‘First Past The Post’. Pengendalian pilihan raya diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan peranannya telah diperuntukkan dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Tarikh 9 Mei 2018 adalah tarikh bersejarah dalam politik negara. Barisan Nasional yang diterajui UMNO telah tewas dalam PRU Ke-14 buat pertama kali sejak 1955. BN hilang dua pertiga majoriti (79 daripada 222 kerusi parlimen ) dan memperoleh hanya 33.7% undi popular. Pakatan Harapan (PH) menguasai 113 kerusi dan menguasai 48% undi popular. PAS yang telah menyertai PRU sejak pra kemerdekaan 1955, hanya memenangi 18 daripada 157 kerusi yang ditandingi dan menguasai 16.9% undi popular. Walau bagaimanapun, undi popular PAS sebagai parti tunggal hampir menyamai PKR (17.1%) dan DAP (17.4%).

Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam proses PRU Ke-14, saya berpendapat terdapat tiga (3) analisis yang perlu dipertimbangkan untuk memeta kemenangan PAS dalam PRU khususnya menjelang PRU Ke-15 kelak. Pertama, analisis fundamental. Kedua, analisis teknikal. Ketiga, analisis sentimen. Kombinasi tiga analisis tersebut boleh membuka peluang lebih tinggi untuk memenangi sesuatu kerusi pilihan raya samada di peringkat parlimen atau negeri. Ketiga-tiga analisis itu juga bukan satu teoritikal akademik, bahkan hanya sekadar pengamatan yang boleh diaplikasikan.

Pertama : Analisis Fundamental

Analisis Fundamental (AF) merujuk kepada asas-asas pengukuhan dalaman bagi organisasi. Ia berkaitan dengan perihal iltizam pendokong terhadap perjuangan, kesatuan dan persiapan jitu. Syeikh Mustafa Masyhur HA menggariskan tiga kekuatan utama yang wajib dimiliki oleh pendokong jama’ah Islam iaitu kekuatan akidah (iman), kekuatan ukhuwwah dan kekuatan fizikal. Analisis fundamental (AF) memfokuskan kepada ketiga-tiga aspek kekuatan ini. Ruh perjuangan yang berasaskan akidah mesti menjadi teras kepada keampuhan parti. Proses pentarbiyahan harus terus berjalan dan jalinan ukhuwwah mesti tersimpul padu.

Allah tidak suka perjuangan yang tidak berada dalam satu saff yang kuat. Ikhlas menjadi pra syarat kemenangan yang terbentuk daripada tasawwur perjuangan yang benar. Ia juga boleh dijadikan tawassul untuk mendepani mehnah yang lebih getir. Keyakinan terhadap kemenangan Islam harus dipaut sepenuhnya kepada Allah. Sesungguhnya hanya Allah yang layak memberikan kemenangan sebenar kepada perjuangan Islam walaupun dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Banyak ibrah yang boleh digarap daripada perjuangan para anbiya’ dan para sahabat (ribbiyyun) dalam arena dakwah.

Kekuatan fizikal pula merujuk kepada kesediaan diri termasuk mental dan mempersiapkan jentera dengan kemahiran berpilihan raya yang mantap. Tidak dapat dinafikan, banyak kemahiran baru yang perlu diterokai antaranya pengurusan data dan analisis, komunikasi politik, pemasaran politik, kaedah mobilisasi, dan pemerkasaan imej parti. Dalam hal ini, sinergi pengalaman ‘orang lama’ dan kearifan ‘orang baru’ sangat penting untuk menatijahkan hasil yang lebih baik. Insanity is doing the same thing over and over again and expecting different results.

Kedua : Analisis Teknikal

Analisis Teknikal (AT) lebih cenderung kepada kaedah kuantitatif. Ia boleh dimanfaatkan untuk mengkaji secara sistematik sesuatu perkara dengan menggunakan kaedah statistik dan matematik. Tambahan lagi, AT akan mengamati graf dan carta serta mengekstrapolasi anggaran undian yang diperlukan akan datang. Data-data (nombor) dalam tempoh lima kali pilihan raya lebih banyak membantu untuk membaca trend atau pola pengundian. Lebih banyak data, lebih halus perincian, maka lebih luas dapatan yang boleh dirungkaikan. Data undi di peringkat parlimen, DUN, pusat daerah mengundi dan saluran sangat penting.

Sebelum PRU Ke-14 lalu, saya mensasarkan 80 kerusi berpotensi PAS menang (dua penjuru) dengan mengambil kira beberapa faktor. Contohnya, kerusi tradisi menang, kerusi pernah menang, kerusi kalah dengan majoriti 500 (n) undi ke bawah, kerusi majoriti Melayu mengikut peratus dan kerusi unik. Tidak mustahil PAS boleh menang lebih banyak kerusi jika memberikan fokus secara mikro di peringkat pusat daerah mengundi. Penguasaan di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) lebih mudah diatur dan dicerap secara sistematik. Oleh sebab itu, gerak kerja pilihan raya secara teknikal lebih banyak perlu disentralisasikan.

Contohnya, kerusi Parlimen Titiwangsa dalam tempoh tinggal (2008, 2013 dan 2018). PAS pernah menang di Titiwangsa pada tahun 2008. PAS menguasai 14 daripada 18 PDM. Kemudian, PAS tewas pada tahun 2013 dengan majoriti bawah 1,000 undi. PAS menguasai 7 daripada 20 PDM. Berdasarkan kepada PDM yang dimenangi PAS pada tahun 2008 dan 2013, didapati PAS menang di PDM yang mempunyai komposisi kaum Melayu dan Cina yang hampir seimbang sahaja. Kemenangan PAS di Titiwangsa bergantung (secara empirikal) terhadap undi Cina dan BN pula secara tradisi boleh mengekalkan undi popular 18,000 hingga 23,000 walaupun tewas dalam PRU Ke-14.

Berdasarkan kepada trend atau pola pengundian di Parlimen Titiwangsa, boleh disimpulkan beberapa hipotesis. PAS perlu fokus 11 kerusi PDM dengan melebarkan majoriti, PAS mesti mendaftarkan lebih ramai pengundi baru di PDM tertentu dan PAS perlu menampung 10% hingga 20% pertambahan undi popular di PDM yang mempunyai komposisi kaum hampir seimbang sebagai ‘support’ kepada PDM majoriti Melayu yang lain. Namun, sekiranya kaedah ta’awun siyasi berterusan sehingga PRU Ke-15, in Shaa’ Allah, PH boleh dikalahkan dengan majoriti lebih besar.

Ketiga : Analisis Sentimen

Kekuatan sentimen, psikologi, perang saraf sangat kuat berlaku dalam PRU Ke-14. Tidak mustahil terdapat segelintir ahli PAS mengundi PH. Banyak ‘half truth’ kempen yang meledak saat akhir, antaranya, ‘Kali ini undi PH, PRU akan datang undi PAS’ dan ‘Tiga penjuru akan menyebabkan BN menang mudah’. Oleh sebab itu, propagandis PH berjaya mencipta dimensi pertembungan politik dalam PRU Ke-14 adalah pertembungan 2+1, bukan 1 vs 1 vs 1. Mereka menyudutkan PAS sebagai parti nyamuk yang mengganggu kemenangan PH. Akhirnya, ‘swing votes’ berlaku di kerusi-kerusi bandar.

Isu-isu yang melatari PRU Ke-14 lebih banyak tertumpu kepada isu ekonomi, kos sara hidup, rasuah, korupsi. Lebih tepat lagi, kleptokrasi dan rakyat melarat. Teknik propaganda seperti ‘repetition’, ‘emotional’ dan ‘bandwagon’ dibuat secara berkesan untuk membingkai kebobrokan BN. Sentimen juga berkait rapat dengan media. Tiga portal media utama yang paling banyak dirujuk ialah Malaysiakini, The Star dan Harian Metro. Bagaimana corak pemberitaannya? Siapakah audien dan pembacanya? Tiga media sosial paling berpengaruh iaitu Facebook, Whatsapp dan Twitter. Adakah PAS bersedia ke gelanggang ini?

Perbincangan sentimen juga dipengaruhi oleh demografi dan gelagat pengundi. Tambahan pula, pertambahan kumpulan kelas menengah khusus di kawasan bandar turut mempengaruhi pola pengundian. Maka, terbentuk seolah-olah satu dikotomi antara Pantai Barat dengan Pantai Timur, Utara dengan Selatan. Perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut dalam konseptual geografi pilihan raya. Namun begitu, PAS tidak boleh keterlaluan dengan politik persepsi sebaliknya hendaklah mengurus dengan bijak.

Berdasarkan ketiga-tiga analisis tersebut, AF paling penting. Tidak keterlaluan jika dikatakan fundamental yang lebih ampuh akan mudah menjemput kemenangan. Bukanlah juga satu kesalahan sekiranya PAS turut memberikan fokus yang serius kepada AT dan AS. Pilihan raya memerlukan seni yang halus. Berdakwah di jalur politik, berpolitik di jalur dakwah. Kajian dan analisis adalah satu kerja amal jamaie yang sangat kritikal bagi memastikan keputusan yang dibuat lebih baik. 

Leave a Reply

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *