Kumpulan Kelas Menengah & Pengaruh Terhadap Politik

Pertumbuhan ekonomi negara dan peningkatan pendapatan isi rumah telah mengubah struktur masyarakat. Ramai individu telah keluar daripada paras kemiskinan dan membentuk trend baru iaitu kemunculan kumpulan kelas menengah yang lebih besar. Pentakrifan kumpulan kelas menengah adalah sesuatu yang kompleks. Tidak wujud satu takrif yang universal untuk diaplikasikan kerana kumpulan ini mencakupi sifat yang ‘heterogeneus’.

Lewis dan Mande (1955) mengklasifikasikan kelas menengah dengan pelbagai indikator seperti status pekerjaan, taraf pendidikan dan pemilikan kediaman. Hal ini turut dihuraikan oleh Urry dan Abercrombie (1982) yang mendefinisikan kumpulan menengah sebagai kumpulan berjawatan ‘white collar’ yang terdiri daripada peringkat profesional sehingga ke peringkat kerani.

Bagi Yab (1989), kelas menengah merupakan kumpulan masyarakat antara kelas atasan dan kelas bawahan. Mereka terdiri daripada golongan terpelajar dan menjawat jawatan profesional. Hairol Anuar et.al. (2014) pula mengukur daripada punca pendapatan dan latar belakang pendidikan, manakala Azmah Abdul Manaf (2001) lebih cenderung memilih faktor pendidikan sebagai ukuran baru dalam mengkategorikan kelas menengah.

Meskipun terdapat pelbagai definisi dan pengkategorian bagi kumpulan kelas menengah, namun definisi terkini yang dikemukakan oleh Kharas (2017) ialah berasaskan kepada pendapatan per kapita isi rumah antara $10 hingga $100 setiap individu sehari. Sekiranya definisi ini menjadi pertimbangan, maka benua Asia mempelopori trend kenaikan kumpulan kelas menengah yang drastik sebanyak 56% dari tahun 1990 sehingga 2008 (Asian Development Bank 2010).

Kumpulan kelas menengah juga telah memainkan peranan penting dalam ruang demokrasi dan masyarakat sivil. Mereka boleh mengartikulasi idea, pandangan dan pengaruh dengan kuasa autonomi yang berbeza dengan sektor korporat dan kerajaan (Abdul Rahman Embong, 2002). Mereka juga disinonimkan dengan kematangan politik, kesatuan sosial dan kekurangan konflik (Daude, Gutierrez & Melguizo 2015).

Di Malaysia, Saravanamuttu (2001) mendakwa kumpulan kelas menengah telah mencorakkan peranan tersendiri dalam politik. Beliau mengkategorikan kepada dua bahagian. Pertama, kumpulan kelas menengah hanya menyokong status quo politik walaupun dipimpin oleh kerajaan yang tidak demokratik kerana mereka bergantung kepada kepentingan ekonomi dan perkauman.

Kedua, kumpulan kelas menengah bersikap aktif dalam memperjuangkan sesuatu hak kerana kesedaran sivik dan melangkaui kepentingan perkauman. Topik perjuangan mereka tertumpu kepada isu demokrasi sosial, hak asasi manusia dan alam sekitar. Mereka lebih agresif menggerakkan pertubuhan sivil dan menjadi alternatif kepada perjuangan etnosentrik. Walau bagaimanapun, beliau turut akui sebahagian mereka juga bersikap ‘apolitical’.

Perubahan politik yang signifikan telah berlaku di Malaysia pada tahun 2018. Parti Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara lebih enam dekad telah kecundang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Barisan Nasional hanya memperoleh 79 kerusi daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan. BN hanya memperoleh 33.7% undi popular berbanding 47.4% pada tahun 2013. Kebanyakannya, BN tewas di kerusi-kerusi parlimen yang terletak di negeri Kedah, Johor dan Sabah (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia 2018).

Adakah salah satu faktor kekalahan BN disebabkan oleh peranan kelas menengah?

Funston (2018) menyorot kemunculan kumpulan kelas menengah lebih besar di Malaysia telah dibentuk sejak dari tahun 1990-an. Kepesatan pertumbuhan ekonomi negara dalam era tersebut telah melahirkan lebih ramai kumpulan kelas menengah pelbagai kaum yang kritikal disamping perkembangan politik media digital yang lebih berpengaruh menandingi media konvensional. Persekitaran kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi dalam tahun 1990-an telah mengurangkan jurang kebergantungan terhadap kerajaan.

Namun, penghujung tahun 1990-an, berlaku krisis kewangan Asia dan ledakan reformasi yang menjadi titik utama perubahan politik negara. Hal tersebut telah menghakis undi popular BN dalam PRU Ke-10 pada tahun 1999 sedikit demi sedikit. Meskipun, BN kembali membaiki prestasinya dalam PRU Ke-12 pada tahun 2004, namun kegagalan memahami aspirasi rakyat dan menterjemahkan polisi dan tindakan yang lebih baik, akhirnya undi popular BN terus merosot dari tahun 2008 (PRU Ke-12) hingga 2018 (PRU Ke-14) iaitu daripada 56.5% kepada 33.7% sahaja.

Tambahan pula, kemunculan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari kumpulan kelas menengah seperti Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Majlis Peguam Malaysia dan permuafakatan parti-parti pembangkang yang lebih ampuh telah melonjakkan sokongan rakyat untuk menolak BN yang diliputi dengan pelbagai dakwaan korupsi. Peranan politik kumpulan kelas menengah lebih ketara dengan pelbagai siri penganjuran himpunan aman dari BERSIH untuk memobilisasi sokongan rakyat.

Selain itu, isu-isu kos sara hidup seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kenaikan harga barang dan perkhidmatan telah menjadi kempen utama dalam pilihan raya. Muhammad Nadzri (2018) mendakwa majoriti masyarakat Malaysia telah menjadi masyarakat pasca moden yang memanfaatkan penggunaan teknologi dalam segenap kehidupan. Mereka menjadi kumpulan kelas menengah yang lebih bermaklumat kerana pelbagai isu semasa lebih mudah ditularkan menerusi platform media sosial.

Proses sosialisasi yang digarap daripada kombinasi isu politik dan ekonomi yang lebih tertumpu kepada kepentingan kumpulan kelas menengah telah menjadi faktor penolakan (swing factor) yang besar terhadap BN. Perkara ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia pernah berlaku dalam Revolusi Perancis Kurun Ke-18, Revolusi Eropah Kurun Ke-19 dan Revolusi Indonesia Kurun Ke-20. Ia membuktikan partisipasi politik kumpulan kelas menengah telah merombak regim, sistem, budaya, polisi dan hala tuju sesebuah negara.

 

Leave a Reply

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *