Malaysia Tanpa GST dan SST

Masih terlalu awal untuk menelah hasil Kerajaan Persekutuan, tetapi ia sudah dapat dijangka berdasarkan beberapa tindakan tidak popular yang diambil untuk menjustifikasikan kondisi semasa. Bermula dengan gambaran kurang tepat berkaitan hutang negara RM1 trilion dan disusuli seterusnya dengan penangguhan harga petrol dan tol. Kemudian, beberapa projek mega dikaji semula. Ratusan projek untuk rakyat di kawasan luar bandar dimansuhkan. Program penjimatan diketatkan termasuk bonus raya penjawat awam. Tarif elektrik bukan domestik dilepaskan menerusi surcaj ICPT. Hutang PTPTN terus dibayar. Terakhir, GST ditukarkan semula kepada SST berkuatkuasa 1 September 2018.

Khusus mengenai GST, hal ini ditekankan dalam Buku Harapan, muka surat 16, Janji 1: Menghapuskan GST. “Dalam jangka masa pendek, Kerajaan Pakatan Harapan akan menghapuskan GST yang zalim ini dan menggantikannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang lebih adil dan tidak menyusahkan rakyat dan peniaga”. Berdasarkan realiti semasa dengan melihat kepada kadar inflasi dan Indeks Harga Pengguna bulan Jun 2018, dapat difahami bahawa GST adalah salah satu faktor penyumbang kepada bebanan rakyat tapi tidak faktor utama. Oleh sebab itu, kaedah untuk meringankan bebanan rakyat tidak semestinya dengan intervensi kerajaan menerusi cukai tidak langsung.

Sekurang-kurangnya berdasarkan data-data ekonomi semasa dan gambaran keseluruhan pelbagai inisiatif peduli rakyat yang akan dilaksanakan dalam Buku Harapan, kerajaan mesti lebih bersedia untuk menghadapi realiti hari ini. Namun begitu, sudah dijangka Kerajaan Persekutuan mengambil jalan mudah dengan mengemukakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum pembentangan Bajet 2019. Tindakan ini terpaksa dilakukan bagi menampung kehilangan kira-kira RM 45 bilion hasil kerajaan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Sejak GST diperkenalkan pada 1 April 2015, kerajaan telah memperoleh sekitar RM110 bilion sehingga tahun 2017. Ia merupakan sumbangan paling besar berbanding duti-duti yang lain daripada akaun sektor cukai tidak langsung. Sudah tentu pemansuhan GST perlu ditampung dengan satu sumber alternatif bagi mengelakkan kerajaan menanggung defisit dan hutang yang lebih tinggi.

Berdasarkan kenyataan akhbar Menteri Kewangan bertarikh 17 Julai 2018, SST bakal menjana lebih kurang RM 21 bilion atau 48% sahaja daripada GST. Walau bagaimanapun, pendapatan daripada Petroleum samada daripada cukai langsung atau tidak langsung dijangka akan menyumbang kira-kira RM 14 bilion pada tahun 2018 berbanding anggaran RM 11.8 bilion pada tahun 2017. Selain itu, dasar penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan sejak 10 Mei lalu dijangka turut akan mengurangkan beban perbelanjaan mengurus dan membangun. Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian adalah penjualan aset-aset kerajaan melalui Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Lebih membimbangkan, apabila kerajaan menetapkan kadar sifar GST berkuatkuasa 1 Jun 2018, kebanyakan respon daripada pemain industri tidak memberangsangkan. Portal Malay Mail bertarikh 17 Julai melaporkan, kadar sifar GST tidak memberikan kesan signifikan dalam menurunkan kos perniagaan. Begitu juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam kenyataan pada 12 Julai yang lalu mengakui kebanyakan harga barangan dilihat kekal kerana penurunannya dalam lingkungan 0.04 hingga 13 peratus berbanding anggaran awal daripada 30 hingga 40 peratus. Malah, Indeks Harga Pengguna pada bulan Jun 2018 hanya turun 1.2% sahaja berbanding bulan Mei 2018 sempena faktor tambahan musim perayaan dan pelaksanaan skim kawalan harga untuk 22 item terpilih.

Sekiranya situasi semasa diperhalusi, kerajaan berdepan dilema baru. Pertama, masalah harga di pasaran yang ditentukan oleh pembolehubah GST dan SST. Kedua, kewangan Kerajaan Persekutuan tidak ampuh disebabkan bergantung kepada SST dan hasil petroleum. Adakah pertukaran semula SST boleh menyumbang kepada penurunan harga di pasaran dan membantu mengukuhkan kewangan kerajaan? Oleh sebab itu, pendekatan baru perlu diambil dengan meneliti semula beberapa pilihan lain. Buat masa ini, selain daripada  cadangan kerajaan untuk melaksanakan semula SST pada 1 September ini, Ahli Parlimen Rembau pula berpandangan kerajaan harus meneruskan dengan GST tapi dengan kadar yang lebih rendah. Adakah ia pilihan yang lebih baik?

Adakah SST Menjadikan Harga Lebih Rendah?

Setelah Kementerian Kewangan mengumumkan pertukaran GST kepada SST, banyak andaian dibahaskan, antaranya bebanan kepada pengurusan peniaga akibat ‘flip flop policy’, masalah ketelusan dan ketirisan dan sumbangan hasil kepada kerajaan. Namun, poin utama yang dibincangkan beberapa hari ini lebih tertumpu kepada persoalan, adakah dengan pelaksanaan SST, harga belian oleh pengguna akan menjadi lebih rendah? Bagi menjawab persoalan ini, boleh merujuk kepada kenyataan media Menteri Kewangan bertarikh 17 Julai 2018 dan penerangan Astro Awani yang disiarkan pada 18 Julai 2018. Berdasarkan kepada kedua-dua penerangan ini, mungkin terdapat beberapa persoalan lanjut boleh dibincangkan.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan itu, pada muka surat kedua dinyatakan,

Sebagai contoh, pihak pembekal mengenakan kadar 10% cukai jualan (RM 0.10) ke atas air tin yang dikilangkan dengan kos RM 1.00. Sebaliknya, di bawah sistem cukai GST, apabila air tin yang sama dijual kepada pengguna di 7Eleven pada harga RM 2.00, kadar 6% cukai GST (RM 0.12) akan dikenakan ke atas harga tersebut. Dalam keadaan ini, amat jelas bahawa kadar GST 6% (RM 0.12) adalah lebih tinggi berbanding kadar SST 10% (RM 0.10)”.

Berdasarkan contoh di atas, jika menggunakan SST, maka; Kos pengeluaran air tin dari kilang ialah RM 1.00 dan ditambah dengan cukai jualan (10%), maka secara keseluruhannya ialah RM1.10 sen. Pembekal membeli dengan harga RM1.10 sen dan ditambah dengan margin keuntungan 10%, maka air tin tersebut dijual kepada peruncit (7Eleven) dengan harga RM 1.21 sen. Peruncit (7Eleven) membeli dari pembekal dengan harga RM 1.21 sen dan ditambah dengan margin keuntungan 10%, maka harga jualan akhir yang akan dikenakan kepada pengguna ialah RM 1.33 sen.

Berdasarkan contoh di atas juga, jika menggunakan GST, maka; Kos pengeluaran air tin dari kilang ialah RM 1.00 dan ditambah dengan GST 6%, maka secara keseluruhannya ialah RM 1.06 sen. Pembekal membeli dengan harga RM 1.06 sen. Walau bagaimanapun GST yang dikenakan sebanyak RM 0.06 sen boleh ditebus semula daripada pihak Jabatan Kastam. Ini bermakna, pembekal boleh mengekalkan kos belian dari kilang sebanyak RM 1.00 dan ditambah dengan margin keuntungan 10%, maka harganya ialah RM 1.10. Pembekal menjual kepada peruncit (7Eleven) dengan harga RM 1.10 ditambah dengan GST 6% iaitu RM 1.16 sen. Peruncit (7Eleven) membeli dengan harga RM 1.16 dan boleh tebus semula RM 0.06 sen daripada pihak Jabatan Kastam. Maka, peruncit (7Eleven) menjual air tin dengan harga RM 1.10 ditambah dengan margin keuntungan 10%, maka menjadi RM 1.21 dan mengenakan GST 6% kepada pengguna, akhirnya harga jualan ialah RM 1.28 sen.

Ini bermakna, harga akhir kepada pengguna jika SST ialah RM 1.33 sen, manakala jika GST ialah RM 1.28 sen. Harga dengan SST lebih tinggi berbanding GST. Sekiranya Menteri Kewangan membuat andaian bermula daripada GST 6% dari peringkat awal dan dikira secara berperingkat dengan mengambil kira faktor tebus semula (claimable), sudah tentu beliau menemukan jawapan yang sama. Dikhuatiri kiraan yang dilakukan oleh beliau tidak mengambil kira faktor tersebut dan hal yang sama juga dilakukan oleh Astro Awani. Walhal, jika merujuk kepada maksud yang dijelaskan oleh pihak Jabatan Kastam, GST ialah cukai kepenggunaan berasaskan konsep nilai tambah. GST adalah cukai berperingkat. Pembayaran cukai dibuat di setiap peringkat oleh pengantara dalam proses pengeluaran dan pengedaran GST bukan merupakan kos kepada pengantara kerana mereka boleh menuntut kembali GST yang telah dikenakan ke atas input perniagaan mereka. Dalam kes barang (air tin) ini, SST lebih mahal berbanding GST.

Secara kesimpulannya, SST dan GST kedua-duanya menyumbang kepada peningkatan harga barang dan perkhidmatan. Asasnya, mekanisme harga ditentukan antara tekanan penawaran dan permintaan dalam pasaran. Ia berlaku secara ‘natural’ dan bebas berinteraksi antara dua pihak. Namun, dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi campuran, mekanisme harga turut dipengaruhi oleh intervensi (campur tangan) luar khususnya daripada pihak kerajaan. Contoh intervensi kerajaan ialah menetapkan harga siling (maksimum) atau harga lantai (minimum) dan kenaan cukai atau subsidi bagi sesuatu barang. Khusus bagi cukai, kerajaan mengenakan cukai tidak langsung iaitu cukai ke atas pengeluar dan penjual tetapi akhirnya dibayar atau dipindah kepada pengguna akhir (pembeli) seperti duti import, duti eksais, cukai jualan dan cukai perkhidmatan. GST dan SST adalah contoh praktikal bagi intervensi kerajaan ini dan kedua-duanya adalah cukai kepenggunaan dan berasaskan Ad valorem iaitu peratusan cukai. Paling penting ia adalah hasil kepada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimana Malaysia Tanpa GST dan SST?

Sekiranya merujuk kepada contoh air tin sebelum ini, harga jualan akhir yang akan dikenakan kepada pengguna hanyalah RM 1.21 sahaja. Ia lebih rendah berbanding GST dan SST. Adakah ia praktikal untuk dilaksanakan? Praktikal. Tanpa cukai kepenggunaan dijangka sekurang-kurangnya akan meredakan ‘cost push inflation’ dan membiarkan pasaran berinteraksi secara bebas. Walau bagaimanapun, lihat bagaimana pesan Rasulullah SAW apabila diminta untuk menetapkan harga di pasaran, “Sesungguhnya Allah SWT sahaja yang menahan, memberi rezeki, melapangkan dan menetapkan harga. Aku sangat berharap agar aku menemui Allah SWT kelak dalam keadaan tidak seorang pun yang mendakwa bahawa aku menzaliminya dalam darah mahupun harta” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi).

Perbincangan mekanisme harga lebih awal dibincangkan oleh Sarjana Islam sekitar kurun ke-13. Dipetik daripada penulisan Dr Surtahman Kastin (2010) dan Abdul Aziz Ishali (1985) bertajuk, “Ibn Taymiyah’s Concept of Market Mechanism”, beliau menukilkan pandangan Ibnu Taymiyah RA yang mengatakan, “Kenaikan dan kejatuhan harga tidak semestinya berpunca daripada kezaliman setengah-setengah pihak (peniaga). Kadang-kadang kenaikan dan kejatuhan berpunca daripada kekurangan pengeluaran dan kejatuhan import barang tersebut. Oleh itu, jika permintaan barang itu meningkat, sedangkan penawarannya berkurangan, maka harga akan naik. Sebaliknya, apabila penawarannya bertambah, sedangkan permintaannya berkurang, maka harga akan jatuh. Kekurangan dan lebihan ini mungkin bukan disebabkan tindakan sesetengah pihak”.

Selain itu, sejak zaman kehidupan Rasulullah SAW, baginda mempraktikkan pengawasan pasaran yang juga diistilahkan sebagai al-hisbah. Baginda pernah mengambil tindakan segera di pasaran terhadap peniaga yang menipu, mengamalkan riba dan menyorokkan barang dagangan. Praktis ini diteruskan oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA dan khalifah-khalifah yang lain. Pelaksanaan ini adalah satu pengawasan terhadap pasaran agar pihak-pihak yang berinteraksi bebas tetapi masih mengikut prinsip-prinsip universal Islam bagi menjamin keadilan semua pihak. Tiada kebebasan mutlak tanpa tanggungjawab sosial sehingga boleh berlakunya monopoli pasaran, penipuan dan kezaliman khususnya kepada pengguna.

Adakah Alternatif Lain Kepada Cukai Kepenggunaan?

Sudah banyak kupasan mengenai konsep percukaian dalam Islam. Dasarnya ialah para ulama’ bersepakat tidak membenarkan cukai atau juga disebut sebagai ‘ad-Dharaib’ atau ‘al-Maks’ melainkan dalam keadaan dan syarat tertentu sahaja. Berdasarkan kepada rumusan pandangan para ulama’ ke atas konsep percukaian yang boleh dilaksanakan atas ruh ‘masalih mursalah’, ia mestilah memenuhi syarat-syarat tertentu dan dengan pelaksanaan cukai tersebut mestilah ia boleh mengundang sesuatu manfaat yang diperakui oleh Syara’ sahaja.

Sekurang-kurangnya, terdapat 4 syarat yang diharuskan pelaksanaan cukai menurut pandangan para ulama’, iaitu;

  1. Cukai hanya dikenakan kepada orang-orang kaya sahaja berdasarkan kepada nilai kekayaannya.
  2. Pastikan terlebih dahulu bahawa kewangan negara termasuk rizab simpanan telah kosong atau sangat darurat.
  3. Dilaksanakan cukai hanya pada waktu khusus atau keadaan yang sangat mendesak, bukan sepanjang masa.
  4. Hasil kutipan cukai hanya untuk tujuan yang besar manfaat kepada rakyat.

Oleh yang demikian, berasaskan kepada tasawwur Islam yang betul dan melaksanakannya menurut kaedah yang dibenarkan Islam, maka cukai harus dilaksanakan dengan merujuk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sudah tentu, jika ia merujuk kepada pelaksanaan GST dan SST, ia jelas bercanggah. Maka, satu pilihan alternatif perlu dikemukakan untuk menangani pemasalahan ini menjelang penguatkuasaan semula SST pada 1 September 2018 ini. Sekurang-kurangnya terdapat cadangan dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk kerajaan mempertimbangkan cadangan pelaksanaan Cukai Ke Atas Simpanan Korporat dan Cukai Ke Atas Pegangan Saham.

Sekiranya diambil salah satu daripada cadangan alternatif tersebut, ia juga sekurang-kurangnya mestilah mematuhi syarat yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, Cukai Ke Atas Simpanan Korporat. Walaupun banyak lagi ruang penambahbaikan dari aspek teknikaliti pelaksanaan seperti jumlah syarikat korporat yang boleh dicukaikan, nilai ambang cukai, kaedah kutipan dan sebagainya. Namun, ia jauh berbeza dengan cukai kepenggunaan yang diamalkan dalam negara pada hari ini kerana meliputi hampir segenap lapisan rakyat. Tidaklah rakyat disuruh jangan membeli barang jika tidak mahu dikenakan cukai. Hasil daripada kutipan cukai alternatif boleh dikumpul dalam satu akaun khas dan hanya digunakan untuk sektor sosial sahaja. Beri peluang untuk rundingan dan kajian feasibility antara semua pihak demi untuk kebaikan negara.

 

Leave a Reply

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *