Belanjawan 2019 : Meneroka Ketidaktentuan Ekonomi Negara

Keseluruhan hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2019 diunjurkan meningkat 10.7% berbanding tahun 2018 daripada RM236.4 bilion kepada RM261.8 bilion. Kerajaan Persekutuan dilihat bergelut untuk menampung kehilangan kira-kira RM20 bilion selepas pemansuhan GST dan pengecualian cukai selama 3 bulan (tax holiday) pada bulan Jun hingga Ogos yang lalu. Berdasarkan Bajet 2019, Kerajaan Persekutuan seolah-olah panik untuk mencari peluang bagi meningkatkan hasil demi memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan.

Ekoran itu, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan 10 inisiatif baru berkaitan cukai antaranya Cukai Digital, Cukai Perkhidmatan untuk perkhidmatan import, Cukai Soda, Cukai Keuntungan Harta Tanah yang dilupuskan pada tahun keenam dan ke atas dan Levi Perlepasan ke luar negara. Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga menamatkan pengecualian insentif cukai daripada dividen unit amanah dan menarik subsidi bahan api petrol dengan memperkenal semula sistem apungan.

Walau bagaimanapun, ia masih tidak memadai. Pilihan terakhir bagi Pakatan Harapan adalah memerah kantung PETRONAS dengan meminta dividen khas berjumlah RM30 bilion. PETRONAS telah terlebih dahulu memberi dividen awal berjumlah RM24 bilion pada bulan Ogos yang lalu. Ia adalah peningkatan 50% lebih tinggi berbanding tahun 2017. Maka, secara keseluruhan, dividen yang diberikan kepada Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2018/2019 adalah RM54 bilion.

Bagi peruntukan perbelanjaan pula, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM314.55 bilion (tidak termasuk Simpanan Luar Jangka RM2 bilion). Sebanyak RM298.5 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus, manakala RM54.7 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Membangun. Peruntukan Perbelanjaan Mengurus meningkat 10.4% berbanding 2018. Peruntukan Perbelanjaan Membangunan menurun secara marginal 0.4% dalam tempoh yang sama.

Bagi Perbelanjaan Mengurus, emolumen kekal mendapat peruntukan terbesar iaitu 31.6%, disusuli dengan pembayaran khidmat hutang (12.7%), perkhidmatan dan bekalan (11.2%) dan bayaran persaraan (10.2%). Paling signifikan, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM37 bilion untuk membayar tunggakan Cukai Pendapatan sebanyak RM18 bilion dan tunggakan cukai input GST sebanyak RM19 bilion. Hal ini masih dalam pertikaian dan siasatan SPRM.

Bagi Perbelanjaan Membangun, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan 53.4% untuk sektor ekonomi, 27.8% untuk sektor sosial, 12.9% untuk sektor keselamatan dan 5.9% untuk pentadbiran am. Sektor pengangkutan mendapat peruntukan yang paling besar khusus untuk membina, memulih dan menyelenggara infrastruktur dan kemudahan asas. Pendidikan dan latihan pula terus mengekalkan status quo dalam sektor sosial.

Terdapat beberapa poin yang menarik dalam pengagihan untuk sektor perumahan dan kesihatan. Kerajaan Persekutuan memperkenalkan pembiayaan awam masyarakat (Crowdfunding) dan pembiayaan/pinjaman rakan setara (P2P Financing) untuk memudahkan pemilikan rumah pertama. Idea pembiayaan ini adalah hampir selari dengan konsep yang dikemukakan oleh PAS dalam Dokumen Hijau untuk program pemilikan rumah pertama dengan menggunakan mekanisme Sukuk al-Ijarah dan Mudharabah.

Selain itu, Kementerian Kesihatan akhirnya memperkenal Skim Pembiayaan Kesihatan B40. Pada awalnya, Menteri Kesihatan menafikan penglibatan syarikat pengendali takaful/insuran dalam skim tersebut, tetapi hal ini disebutkan dengan jelas sumbangan RM2 bilion dari Great Eastern untuk realisasikan projek ini. Konsep skim ini masih samar samada mirip dengan Skim Peduli Sihat atau konsep 1Care yang pernah dikemukakan sekitar tahun 2009 – 2012 yang lalu.

Buat kesekian kalinya, Kerajaan Persekutuan mesti menyelaraskan bahawa Hutang Kerajaan Persekutuan ialah RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017, bukan menjangkau RM1 trilion. Banyak dokumen menyatakan dengan jelas kedudukan itu. Ironinya, salah satu objektif utama Kementerian Kewangan pada tahun 2019 ialah memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi had statutori 55% daripada KDNK. Akhirnya, mereka terpaksa akur dengan kenyataan ini.

Ironinya, dalam tempoh 6 bulan pertama 2018, Kerajaan Persekutuan telah menambah hutang kira-kira RM65 bilion. Penambahan hutang tersebut adalah disebabkan oleh penerbitan bil perbendaharaan, bon dan sukuk. Apakah tujuan penerbitan hutang tersebut? Kebanyakan daripada hutang tersebut dipegang oleh KWSP dan beberapa institusi perbankan. Oleh sebab itu, defisit Kerajaan Persekutuan terus diunjur membengkak sehingga 3.4% iaitu yang tertinggi sejak 2014

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kesimpulannya, tanpa dividen khas PETRONAS, Kerajaan Persekutuan akan menghadapi defisit lebih besar walaupun ditambah dengan pelbagai inisiatif cukai baharu. Perbelanjaan berterusan yang tinggi untuk pembayaran khidmat hutang dan terus mengecilkan pemberian dan kenaan tetap akan memangsakan golongan M40. Walau bagaimanapun, beberapa inisiatif baru tetap dihargai meskipun sebahagiannya masih belum jelas mekanisme pelaksanaannya.

Leave a Reply

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *