Mencetus Model Ekonomi Islam di Malaysia

Profesor Dr Kamal Salih telah melontarkan pandangan supaya Malaysia melaksanakan model ekonomi yang berteraskan prinsip-prinsip Islam bagi menangani isu pengagihan kekayaan, kesenjangan pendapatan, keadilan ekuiti, kegagalan institusi, monopoli dan kebajikan sosial. Beliau yang juga merupakan seorang Profesor Adjung di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Ekonomi Malaya, telah mengemukakan pendapatnya ketika bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan (Council of Eminent Persons) di Menara Ilham pada 5 Julai yang lalu. Turut diakui oleh beliau, ekonomi Malaysia yang diamalkan oleh kerajaan hari ini adalah pro bisnes, cenderung kepada kapitalisme dan berunsurkan keuntungan semata-mata.

Lanjutan itu, seorang lagi ahli akademik yang merupakan Pengarah Pusat Ekonomi Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Mohamed Aslam Mohamed Haneef turut menyokong pandangan Profesor Dr Kamal Salih mengenai hal ini. Beliau menjelaskan bahawa pertumbuhan dan ekuiti adalah poin utama yang perlu diberikan perhatian serius. Dasar tindakan afirmatif yang bertujuan untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera harus diperluaskan kepada seluruh rakyat ekoran masalah kesenjangan pendapatan di Malaysia telah menjadi topik umum yang merentasi semua kaum. Ia melibatkan isu inter etnik, intra etnik dan juga pelebaran jurang antara bandar serta luar bandar.

Oleh kerana itu, kedua-dua tokoh tersebut mencadangkan model yang berteraskan prinsip ekonomi Islam harus menjadi teras kepada penstrukturan semula dasar ekonomi yang baru. Poin penting yang ditekankan oleh Profesor Dr Mohamed Aslam ialah, “It is the imperative for those policymakers to realise that religion, an important source of values for all communities in Malaysia, can be uniting force in new Malaysia”. Begitu juga komentar yang disebut oleh Profesor Dr Kamal Salih, “It is somewhere between a capitalistic and socialist market, but the value system underlined by the Islamic model is universal”. Cabarannya ialah bagaimana model dan prinsip ekonomi Islam hendak diarusperdanakan dalam masyarakat plural di Malaysia.   

Sebelum dibahaskan lebih lanjut tentang aspirasi ini, agenda mengarusperdanakan Ekonomi Islam di Malaysia telah berlaku sekitar tahun 1980-an. Tidak dinafikan, pengaruh Revolusi Iran 1979 telah memainkan sentimen kebangkitan Islam di negara ini. Didokong dengan insiden perkauman 1969 dan disusuli dengan penyusunan sosio-ekonomi masyarakat dalam Dasar Ekonomi Baru 1970, kerajaan yang diperintah oleh YAB Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu telah mengambil langkah drastik untuk mengimbangi pengaruh kebangkitan Melayu-Islam di Malaysia dengan menerapkan konsep Islamisasi yang dinamakan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam pada bulan April 1982.

Dasar ini telah membuka dimensi baru dasar ekonomi di Malaysia. Beberapa inisiatif telah dilakukan, antaranya ialah pengenalan slogan baru iaitu ‘Bersih, Cekap, Amanah’ untuk memulihkan integriti kerajaan, promosi gagasan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ sebagai usaha untuk mempamerkan urus tadbir yang baik dan penggubalan Akta Bank Islam 1983 dan Akta Takaful 1984 bagi merancakkan sektor kewangan Islam di Malaysia. Rentetan itu, sejak dekad 1990-an hingga sekarang, banyak institusi sektor pendidikan tinggi awam khususnya telah giat mempromosikan ilmu Ekonomi Islam seperti Jabatan Syariah dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Pusat Kajian Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam Universiti Sains Malaysia (ISDEV-USM).

Sekiranya ditinjau hasilan tesis di peringkat pasca siswazah di universiti-universiti awam tersebut, didapati banyak penyelidikan berkaitan Ekonomi Islam telah diterbitkan. Sekadar untuk menyebut beberapa contoh, antaranya: tesis ‘Al-Kharaj Menurut Sistem Ekonomi Islam dan Aplikasinya di Malaysia’ dan ‘Pemikiran Ekonomi Islam Dalam Bidang Pertanian dan Amalannya di Malaysia’ di UM, ‘A Model of Distributive Justice in Islamic Economics’ dan ‘Concept of Wages from the Islamic Perspective’ di UIAM, ‘Konsep Monopoli dan al-Ihtikar Menurut Perspektif Ekonomi Islam’ dan ‘Polisi Fiskal Dalam Mengatasi Masalah Inflasi: Kajian Perbandingan Antara Sistem Ekonomi Islam dan Konvensional’ di UKM, ‘Pengurusan Air Secara Islam’ dan ‘Andaian Ketidak-terhadan Kehendak Manusia Dalam Ekonomi Islam Arus Perdana: Analisis Berdasarkan Tasawwur Islam’ di ISDEV-USM.

Tidak sekadar itu, terdapat juga beberapa institusi yang secara langsung atau tidak langsung turut berorientasi dan berbahas mengenai kepentingan Ekonomi Islam seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), World Islamic Economic Forum (WIEF) dan International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS). Kebanyakan institusi yang diwujudkan tersebut lebih cenderung kepada sektor perniagaan, kewangan dan perbankan Islam. Namun begitu, semua dapatan ini menunjukkan bahawa bahan-bahan penyelidikan Ekonomi Islam sangat mencukupi. Persoalannya, sejauh mana polisi-polisi ekonomi negara yang telah digubal mengambil manfaat daripada kajian-kajian teoritikal akademik tersebut? Jika perkara ini tidak dilakukan, maka telah berlakunya satu pembaziran sumber yang sangat besar kerana ilmu-ilmu ini tidak dimaterialkan.

Naratif Perkembangan Ilmu Ekonomi Islam

Beberapa sarjana Ekonomi Islam mendakwa asas kepada ilmu Ekonomi Islam adalah dengan merujuk kepada penataan sirah Nabi Yusuf AS yang direkodkan oleh Allah SWT dalam Surah Yusuf, ayat 43 hingga 49. Nabi Yusuf AS telah diwahyukan Allah untuk menta’bir mimpi seorang pembesar Mesir yang dikaitkan dengan teori pengurusan fiskal, dasar penjimatan dan pengagihan negara. Ibrah sirah ini telah dikembangkan sehingga menjadi satu teori ekonomi kontemporari yang digunakan oleh ahli-ahli ekonomi dan kewangan di dunia. Sebuah buku yang ditulis oleh Simon Sim bertajuk The Joseph Cycle dikatakan telah mengaplikasikan ibrah sirah Nabi Yusuf AS  untuk mengekstrapolasi Straits Times Index Singapore berdasarkan teori 7 tahun ‘bearish’ dan 7 tahun ‘bullish’ sejak tahun 1959.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang Muslim, perlu ditegaskan bahawa semua wahyu Allah SWT termasuk sunnah para rasul yang berkaitan ekonomi merupakan panduan yang benar dan wajar juga dianggap sebagai satu disiplin ilmu Ekonomi Islam. Kemudian, ilmu ekonomi Islam berkembang sejak abad kedua hijrah sehingga ke hari ini. Ia dimulakan dengan perbincangan para ilmuan Islam menerusi bab Fiqh Mu’amalat dalam kitab mereka seperti Kitab ‘al-Mudawwanah al-Kubra’ yang dikarang oleh Imam Malik RA, kitab ‘al-Mabsut’ oleh Imam Muhammad Ibn Ahmad al-Sarkhasi RA, kitab ‘al-Umm’ karya Imam ash-Shafi’e RA dan kitab ‘al-Mughni’ yang ditulis oleh Imam Muwafiquddin Ibnu al-Qudamah RA.

Penghuraian lanjut dan teliti tentang Ekonomi Islam telah dibukukan secara khusus seperti Kitab ‘al-Kharaj’ yang dikarang oleh Imam Abu Yusuf RA, kitab ‘al-Amwal’ oleh Syeikh Abu Ubaid ibnu Salam RA, kitab ‘Muqaddimah’ hasil karya dari Ibnu Khaldun RA dan kitab ‘as-Siyasah asy-Syar’iyyah fi al-Islah ar-Ra’ie wal Ra’iyah’ yang ditulis oleh Ibnu Taimiyyah RA. Setelah ilmu Ekonomi Islam berada pada fasa kelesuan akibat faktor-faktor tertentu, teori-teori ekonomi konvensional mula berkembang sehingga menghakis keunggulan ilmu Ekonomi Islam. Bermula abad ke-18, muncul ahli ekonomis klasikal seperti Adam Smith (The Wealth of Nations) dan David Ricardo (Principles of Political Economy and Taxation), kemudian disusuli dengan ahli ekonomis neoklasikal dan keynesian.

Seterusnya, kajian-kajian kontemporari mengenai Ekonomi Islam kembali semula dibugarkan sekitar dekad 1970-an. Menariknya dalam dekad ini, ilmu Ekonomi Islam telah banyak diistilahkan sebagai Ilmu ‘al-Iqtisad’ sepertimana yang telah ditulis oleh para ilmuan. Karya-karya yang terkenal seperti ‘al-Iqtisaduna’ dikarang oleh M.Baqir as-Sadr, karya ‘al-Iqtisad al-Islami wa al-Iqtisad al-Mu’asir’ ditulis oleh M. Abdullah al-Arabi dan karya Muhammad al-Mubarak yang bertajuk ‘Nizamul Islam al-Iqtisadi’. Huraian lanjut mengenai perkembangan kajian pemikiran Ekonomi Islam boleh merujuk kepada penulisan Profesor Dr Abdul Azim al-Islahi, Profesor Dr Mohamed Aslam Haneef dan Profesor Dr M. Nejatullah Siddiqi.

Definisi, Konsep dan Prinsip Ekonomi Islam

Tiada satu takrifan ekonomi Islam yang uniformiti telah digunakan. Namun, dua definisi yang diberikan oleh profesor Ekonomi Islam ini boleh dijadikan sandaran yang baik. Pertama, al-Marhum Profesor Dr Joni Tamkin menjelaskan bahawa Ekonomi Islam adalah, “satu disiplin ilmu yang ruang lingkup kajiannya ialah pemilikan sumber kekayaan dan pendapatan, penggunaan barang dan perkhidmatan, aktiviti pengeluaran barang dan perkhidmatan, pengagihan semula kekayaan, dan pendapatan kepada yang layak dan berhak dalam Islam”. Kedua, mantan Profesor Madya Dr Surtahman Kastin pula berpendapat bahawa Ekonomi Islam ialah, “ilmu yang mengkaji segala kegiatan manusia yang selari dengan prinsip-prinsip Syari’ah dari sudut memperoleh kekayaan dan pendapatan, mengguna dan mengurus sumber pengeluaran untuk diri dan kebaikan bersama dalam bentuk kebendaan dan kerohanian untuk mendapatkan keredaan Allah SWT”.

Nas-nas Syari’ah telah banyak menukilkan secara eksplisit dan implisit prinsip serta hukum yang berhubung dengan Ekonomi Islam. Contohnya, galakan berkerjasama (Surah al-Maidah: 2), pengharaman riba’ (Surah Ali ‘Imran: 130), kewajipan berzakat (Surah at-Taubah: 103), penyelewengan dalam perolehan (Surah an-Nisa’: 29), keadilan dalam pasaran (Surah al-Israa’: 35), bantuan kepada fakir miskin (Surah al-Baqarah: 273), konsep pembangunan (Surah al-Hijr: 19-20), larangan pembaziran (Surah al-An’aam: 141), kecaman terhadap monopoli (Surah al-Hasyr: 7) dan banyak lagi. Semua prinsip dan penyataan hukum tersebut mestilah dapat difahami untuk diimplementasikan dalam konteks masing-masing.

Syeikh al-Qardhawi dalam bukunya, ‘Daur al-Qim wa al-Akhlaq fil Iqtisadil Islami’ telah menggariskan empat nilai utama yang terdapat dalam Ekonomi Islam iaitu ‘rabbaniyyah’, ‘akhlaqiyyah’, ‘insaniyyah’ dan ‘wasatiyyah’. Ekonomi yang ‘rabbaniyyah’ merujuk kepada orientasi ekonomi yang dipasakkan hanya kerana Allah samada daripada aspek matlamat, konsep dan kaedah perekonomian. Ekonomi ‘akhlaqiyyah’ (akhlak) pula adalah kombinasi padu antara aktiviti ekonomi dan nilai akhlak sepertimana larangan Allah terhadap pelacuran untuk menjana pendapatan. Ekonomi ‘insaniyyah’ (kemanusiaan) pula dimaksudkan kepada kepentingan untuk meningkatkan taraf kehidupan manusia ke arah yang lebih baik dengan memberikan layanan yang adil dan tidak melampaui batas kepada manusia tanpa mengira kedudukan sosial, jantina dan demografi kehidupan.  Terakhir, ekonomi ‘wasatiyyah’ iaitu merujuk kepada sistem ekonomi yang tidak menindas golongan lemah serta tidak menzalimi hak-hak individu.

Aplikasi Model Ekonomi Islam di Kelantan dan Terengganu

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu sekurang-kurangnya telah memberikan satu peluang kepada rakyat untuk menilai corak pentadbiran dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Dari aspek ekonomi, Pakatan Harapan di peringkat Kerajaan Persekutuan telah melakukan beberapa pendekatan baharu. Paling ketara ialah merasionalisasi hutang negara yang dikatakan telah menjangkau RM 1 trilion. Bagi mengatasi kemelut ini, kerajaan dilihat telah mengamalkan pendekatan ‘contractionary fiscal policy’. Kerajaan mengambil langkah mengetatkan perbelanjaan, menghadkan bayaran pindahan (penangguhan program pengurangan beban rakyat) dan menukar semula regim percukaian daripada GST kepada SST. Selain itu, kerajaan juga telah mengadakan rundingan ekonomi dengan Jepun termasuk permohonan kredit dalam mata wang yen. Sikap selektif kerajaan dalam mengagihkan peruntukan RM 100 juta hanya kepada Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK – dulu JKKK) di bawah Pakatan Harapan turut dibidas. Isu kronisme juga timbul yang mengakibatkan projek ECRL dan pembangunan bandar Langkawi oleh seorang taikun yang dikaitkan dengan Perdana Menteri.

Berbeza dengan corak pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang telah dikuasai semula oleh PAS. Dalam tempoh 60 hari, Kerajaan Negeri Terengganu telah mula memenuhi janji manifesto antaranya bantuan caj wad kelas 3 secara percuma, pemberian bekalan air percuma 20 meter padu kepada golongan miskin, penawaran pakej perkahwinan dan pemberian semula lot tanah yang dirampas oleh Barisan Nasional kepada yang berhak. Sementara itu, kerajaan tidak mengambil sikap selektif dalam mengagihkan peruntukan tahunan kepada semua ahli dewan undangan negeri tanpa mengira latar politik. Menjelang pembentangan bajet negeri akan datang, kerajaan turut akan melancarkan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) yang bertemakan maju, berkat dan sejahtera.

Buat peringkat permulaan, tujuh perkara yang disarankan untuk diadaptasi oleh kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan untuk merealisasikan model ekonomi Islam.

Pertama, meneruskan budaya pentadbiran berpaksikan ‘Ubudiyyah, Mas’uliyyah, Itqan’ sehingga mampu melonjakkan prestasi cemerlang, bebas rasuah, korupsi dan disenangi rakyat.

Kedua, mengamalkan budaya politik Islam yang matang dan sejahtera supaya elemen ‘dakwah bil hal’ menggamit hati rakyat kepada Islam.

Ketiga, memperkenalkan produk-produk berkebajikan bermula daripada peringkat bayi dalam kandungan ibu sehingga warga emas. Paras Garis Kemiskinan peringkat negeri boleh dikaji supaya ia sejajar dengan realiti hidup dan membolehkan lebih ramai mendapat manfaat.

Keempat, memperluas sumber-sumber ekonomi ke peringkat sektor kedua dan ketiga bagi mengelakkan dependensi terhadap sektor pertama (pertanian dan perlombongan). Membangun ekonomi setempat (1 DUN 1 industri) supaya limpahan ekonomi dapat dirasai bersama.

Kelima, penelitian dalam pengagihan kekayaan kepada rakyat berdasarkan prinsip Syari’ah kerana sumber-sumber seperti zakat, fa’i, ‘usyur, ma’adin dan kharaj mempunyai penerima yang dijamin dalam Islam

Keenam, mengurus sumber alam dengan berhemah tanpa mengabaikan ekologi alam yang lain. Keseimbangan dalam pembangunan akan membawa kepada kesejahteraan dan mengelakkan kerosakan lain sehingga boleh mengakibatkan tanah runtuh dan banjir.

Ketujuh, mengupayakan hak rakyat samada dengan membantu meningkatkan pendapatan, memudahkan pengurusan bisnes termasuk menghapuskan tol atau cukai tidak perlu, mengurangkan birokrasi keterlaluan (red tapism) supaya dapat melancarkan produktiviti dan menggerakkan ekonomi rakyat.

Semoga permulaan dalam melaksana model dan prinsip ekonomi Islam di peringkat negeri menjadi hujah yang relevan untuk memperolehi mandat rakyat sehingga ke peringkat persekutuan satu hari nanti. Negara sejahtera adalah sebuah negara yang dirahmati, maju, aman dan rakyatnya sentiasa mendapat pengampunan dari Allah SWT. Bukan suatu yang sia-sia apabila Allah mengungkapkan pengakhiran bangsa Iram, kaum Tsamud, rakyat Saba’ di dalam Al-Qur’an. Keimanan dan ketaqwaan kepada Allah mengundang keberkatan-Nya, manakala kekufuran membawa kepada kehancuran.

Leave a Reply

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *